BAWA PENCURI AIR KE MUKA PENGADILAN – KM HAJIJI

BAWA PENCURI AIR KE MUKA PENGADILAN – KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika mempengerusikan mesyuarat kabinet di Menara Kinabalu hari ini ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah untuk menggunakan undang-undang di bawah bidang kuasanya dan membawa pesalah kecurian air ke mahkamah undang-undang.

“Tangkap mereka dan dakwa di mahkamah.

“Begitu juga, kita mahu kilang-kilang yang didapati mencuri air dibawa ke mahkamah dan bukan hanya mengeluarkan kompaun,” katanya.

Beliau berkata adalah mustahak untuk tindakan tegas diambil terhadap mereka yang mencuri air kerana sambungan haram dikenal pasti sebagai punca utama 60 peratus air tidak terhasil (NRW) di Sabah, dan merupakan yang tertinggi di negara ini.

Bercakap pada mesyuarat pasca kabinet Jabatan Ketua Menteri hari ini, Hajiji berkata kabinet negeri telah memanggil Jabatan Air untuk taklimat susulan demonstrasi bekumpulan termasuk pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) menuntut isu air itu diselesaikan.

“Kabinet negeri dimaklumkan bahawa dalam tempoh dua bulan lalu, UMS hanya mengalami gangguan bekalan air selama satu atau dua hari akibat paip pecah.

“Jabatan Air telah membekalkan air kepada UMS antara empat juta hingga tujuh juta liter setiap hari ditambah dengan tiub telaga yang boleh membekalkan satu juta liter setiap hari.

“Saya telah meminta Naib Canselor UMS meneliti perkara itu bagi mengetahui punca air tidak sampai kepada pelajar,” katanya.

Kabinet diberi taklimat bahawa bekalan air ke UMS semakin berkurangan berikutan banyak sambungan haram yang dikesan dari lima kampung sehingga ke universiti terbabit.

“Sebab itu saya mahu pihak penguatkuasa Jabatan Air Negeri Sabah pergi dan putuskan sambungan haram ini.

“Selain itu, ambil tindakan tegas terhadap pesalah,” katanya sambil menambah sambungan haram itu didapati membekalkan air ke beberapa kampung yang terletak di belakang UMS, iaitu di atas tanah yang menjadi pertikaian antara peneroka dan pemilik tanah.

“Mungkin, Jabatan Air boleh memasang tangki 500 liter di tapak dan mengenakan bayaran kepada penduduk di situ untuk air. Ini akan menghalang mereka daripada menyambung semula secara haram ke saluran air,” katanya.

Namun begitu, Hajiji berkaya tanggungjawab jerajaan negeri ialah membekalkan air dan pelbagai usaha dilakukan bertentangan dengan dakwaan pembangkang.

“Loji Rawatan Air Telibong II telah siap dan kini menunggu pemasangan paip air siap. Apabila siap ia akan menyediakan tambahan 160 mld untuk menampung bahagian utara Sabah termasuk UMS dan kawasan sekitarnya.

“Selain itu, kerja-kerja meningkatkan bekalan air di bahagian selatan Pantai Barat yang memberi manfaat kepada penduduk di Papar, Lok Kawi dan Putatan telah pun bermula lapan bulan lalu dan dijangka siap menjelang 2026,” katanya.