Penjawat Awam Wanita Bakal Dituduh Di Mahkamah Atas Kesalahan Salah Guna Kuasa

Penjawat Awam Wanita Bakal Dituduh Di Mahkamah Atas Kesalahan Salah Guna Kuasa

0
SHARE

TAWAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan seorang penjawat awam yang bertugas di sebuah sekolah di negeri ini kerana disyaki menyalah guna kuasa bagi mendapatkan dua perolehan perkhidmatan penyewaan mesin fotostat dan kerja pemasangan sinki serta perpaipan berjumlah kira-kira RM40,000.

Menurut sumber, suspek wanita berusia 50-an telah ditahan kira-kira jam 11 pagi tadi ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Tawau.

Susulan penahanan itu, suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau bagi tujuan pertuduhan esok pagi.

“Suspek disyaki menggunakan jawatannya pada tahun 2020 sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) untuk mendapatkan suapan dengan mempelawa sebuah syarikat bagi perkhidmatan penyewaan mesin fotocopy dan copyprinter yang bernilai kira-kira RM20,000 sedangkan kerja tersebut dilakukan oleh suspek sendiri.

“Pada tahun yang sama, suspek juga disyaki menggunakan jawatannya untuk memilih syarikat yang dimiliki kepentingan oleh suaminya untuk kerja pemasangan sinki, perpaipan dan lain-lain yang juga bernilai kira-kira RM20,000,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari inin.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes akan dituduh di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.