Bapa di Lahad Datu Dihukum 165 Tahun Penjara, 110 Sebatan Rogol Dua...

Bapa di Lahad Datu Dihukum 165 Tahun Penjara, 110 Sebatan Rogol Dua Anak Kandung

0
SHARE

LAHAD DATU: Seorang lelaki berusia 54 tahun dijatuhi hukuman penjara 165 tahun dan 110 sebatan selepas mengaku bersalah merogol dua anak kandungnya di Mahkamah Sesyen pada Rabu.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suhaila Selag.

Mahkamah menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara bagi setiap 11 pertuduhan, yang diperintahkan berjalan secara berturut-turut, serta 10 sebatan bagi setiap kesalahan.

Menurut polis, lelaki itu ditahan susulan laporan dibuat oleh kedua-dua mangsa di Balai Polis Tawau pada 22 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supt Jimmy Panyau berkata, suspek melakukan perbuatan tersebut terhadap dua anak kandungnya yang kini berusia 25 dan 22 tahun di beberapa lokasi di Lahad Datu dan Tawau.

Katanya, mangsa telah menjadi mangsa sejak masing-masing berusia 15 dan 18 tahun, selain dipaksa melakukan perbuatan seksual melalui ugutan keganasan jika enggan.

Beliau berkata, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, melibatkan lima pertuduhan terhadap anak berusia 25 tahun dan enam pertuduhan terhadap anak berusia 22 tahun, serta satu pertuduhan tambahan membabitkan wanita lain.

Jika sabit kesalahan, setiap pertuduhan membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan maksimum 10 sebatan.