KOTA KINABALU: Dr. Mary Gambidau dari daerah Telupid dilantik secara rasmi sebagai Pengerusi Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 (UNK 2026), sekali gus memikul amanah besar menerajui penganjuran acara kebudayaan ikonik negeri ini.
Pelantikan beliau mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kedudukan Unduk Ngadau Kaamatan sebagai platform unggul bagi pemeliharaan, pemerkasaan dan penghayatan warisan budaya, selain meningkatkan peranan wanita muda sebagai pewaris tradisi serta pemimpin masa hadapan komuniti.
Dalam pada itu, Datuk Joanna Datuk Kitingan turut dilantik sebagai Penasihat UNK 2026 yang akan memberikan panduan strategik serta sokongan kepimpinan kepada Jawatankuasa Penganjur bagi memastikan kelancaran penganjuran.
Bagi memperkukuh tadbir urus, Dr. Mary telah menubuhkan Jawatankuasa Induk yang terdiri daripada Mandy Nandu sebagai Timbalan Pengerusi, Audrey Wilson Rantau sebagai Setiausaha, dan Maureen J. Kananong sebagai Bendahari, bersama barisan ahli jawatankuasa berpengalaman.
Persiapan bagi UNK 2026 telah dimulakan seawal Februari lalu dengan pelaksanaan beberapa inisiatif penambahbaikan termasuk penilaian awal finalis selaras dengan mandat Jawatankuasa Pusat KDCA, bertujuan meningkatkan tahap profesionalisme, ketelusan serta kualiti pemilihan peserta.
Kemuncak penganjuran akan berlangsung sepanjang Minggu Unduk Ngadau Kaamatan 2026 dari 26 hingga 31 Mei ini, yang bakal menghimpunkan seramai 52 finalis dari seluruh Sabah termasuk peserta yang bermastautin di Semenanjung Malaysia.
Sepanjang tempoh itu, pelbagai program rasmi, aktiviti kebudayaan, sesi penilaian serta inisiatif pembangunan jati diri akan dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu.
Selain itu, pihak penganjur turut mengesahkan Hilton Kota Kinabalu sebagai hotel rasmi bagi edisi tahun ini.
UNK 2026 diyakini akan terus memainkan peranan signifikan sebagai platform berprestij dalam memelihara dan memartabatkan warisan budaya, di samping memperkasa peranan wanita serta memperkukuh identiti dan jati diri masyarakat Sabah di peringkat nasional dan antarabangsa.






