Kes Penyelewengan Dana; SPRM Tahan Naib Presiden Parti Warisan

Kes Penyelewengan Dana; SPRM Tahan Naib Presiden Parti Warisan

0
SHARE

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu, termasuk pemimpin kanan Parti Warisan Sabah berkaitan siasatan penyelewengan dana hampir RM180 juta sebuah kementerian.

Peter Anthony yang juga ahli perniagaan sebelum menyertai politik itu ditahan kira-kira jam 6.40 petang Khamis ketika hadir ke pejabat SPRM negeri untuk dirakamkan kenyataan.

Beliau yang juga pemimpin sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) KDM Malaysia, dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret di sini Jumaat untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Turut ditahan, Yu Sin Kong seorang ahli perniagaan sebuah syarikat pembinaan berumur 52 tahun di pejabat SPRM Sabah pada jam 8.45 malam.

Seorang lagi yang ditahan ialah Norhartaty binti Rahmat, bekas Timbalan Setiausaha Bahagian kementerian terbabit berusia 40 tahun di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 8.15 malam tadi.

Menurut satu laporan di BH Online, penahanan ketiga-tiga individu itu bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan dana membabitkan projek dilaksanakan di bawah sebuah kementerian Persekutuan di Sabah.

Laporan itu tidak menyebut nama kementerian itu, tetapi difahamkan adalah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang pada suatu masa, dipegang oleh Shafie Apdal, yang kini presiden Parti Warisan.

Tiga terbabit adalah antara 10 individu bergelar Datuk dan Datuk Seri diburu SPRM kerana disyaki ada kaitan dengan penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah ratusan juta ringgit untuk golongan miskin di Sabah.

Difahamkan, individu terbabit adalah proksi kepada seorang tokoh berpengaruh yang diberi tanggungjawab menyalurkan wang berkenaan bagi pelbagai projek bantuan rakyat di negeri ini beberapa tahun lalu.

SPRM juga dikatakan sedang menjejak lima pegawai kanan kerajaan yang disyaki bersekongkol dengan mereka.

Sementara itu, sumber berkata, SPRM setakat ini sudah membekukan akaun bank bernilai hampir RM180 juta milik lebih 10 syarikat di Sabah bagi membantu siasatan kes penyelewengan itu.

Difahamkan, SPRM juga menyerbu 15 lokasi, termasuk syarikat yang ada kaitan dengan 10 individu terbabit di Sabah, berkaitan kes berkenaan sejak beberapa hari lalu serta merampas banyak dokumen bagi membantu siasatan.