Warga Emas Cedera, Van Dipandu Terbabas di Jalan Simpang Pegagau Semporna

Warga Emas Cedera, Van Dipandu Terbabas di Jalan Simpang Pegagau Semporna

0
SHARE

SEMPORNA: Seorang lelaki warga emas cedera selepas van yang dipandunya terbabas sendiri dalam kejadian kemalangan jalan raya di Jalan Simpang Pegagau, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.14 pagi itu, mangsa berusia 65 tahun didapati tersepit di dalam kenderaan jenis Foton C2 selepas terbabas ke tepi jalan.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 segera digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 20 kilometer dan tiba pada jam 9.36 pagi.

Setibanya di lokasi, pasukan bomba bertindak menjalankan operasi menyelamat dengan menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dan diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Semporna menggunakan jentera Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Operasi berjaya dikawal pada jam 9.56 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.04 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.

Operasi melibatkan seramai lapan anggota BBP Semporna dengan kekuatan sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) serta EMRS.