SANDAKAN: Hari Anzac bukan sekadar memperingati penderitaan dan pengorbanan tawanan perang semasa Perang Dunia Kedua, tetapi turut mengangkat keberanian luar biasa penduduk tempatan Sabah yang mempertaruhkan nyawa demi membantu mereka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, hubungan antara rakyat Australia, Britain dan Malaysia terbina bukan sahaja melalui sejarah konflik, tetapi juga atas nilai kemanusiaan dan belas ihsan yang dizahirkan dalam detik paling gelap.
“Hari ini, ketika kita mengimbau sejarah bersama antara Australia, Britain dan Malaysia, kita mengiktiraf bahawa ikatan antara rakyat kita terbina bukan sahaja melalui konflik, tetapi juga melalui sifat kemanusiaan dan belas ihsan.
“Warisan mereka yang menderita di Sandakan tidak dapat dipisahkan daripada warisan mereka yang membantu mereka untuk terus hidup, walaupun hanya untuk tempoh yang singkat,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee pada Upacara Subuh Hari Anzac di Taman Peringatan Sandakan, pada Sabtu.
Menurutnya, ribuan tawanan perang dari Australia dan Britain telah melalui penderitaan yang amat kejam di kem-kem sekitar Asia Tenggara semasa Perang Dunia Kedua, termasuk di Sandakan dan Ranau.
“Kem di Sandakan dan Ranau menjadi simbol penderitaan akibat kekejaman termasuk layanan zalim, kebuluran, buruh paksa serta perarakan maut yang terkenal, yang meragut hampir kesemua nyawa mereka yang ditahan.
“Namun, walaupun dalam keadaan paling gelap, nilai kemanusiaan tetap wujud. Penduduk kampung bersama keluarga mereka mempertaruhkan nyawa untuk membantu para tawanan,” katanya.
Beliau berkata, tindakan membantu tawanan ketika itu merupakan satu kesalahan serius yang boleh dihukum dengan pukulan atau kematian, namun penduduk tempatan tetap memilih untuk bertindak atas dasar kemanusiaan.
“Kita mengenang dengan penuh bangga keberanian penduduk tempatan yang mengambil risiko tersebut untuk memberi perlindungan dan penjagaan. Setiap tawanan yang terselamat berhutang nyawa kepada mereka yang melindungi dan menyokong sehingga peluang untuk diselamatkan menjadi kenyataan,” katanya.
Hajiji menegaskan, keberanian yang ditunjukkan itu membuktikan bahawa setiap individu mempunyai keupayaan untuk membawa perubahan walaupun dalam keadaan paling sukar.
“Hari ini, kita menghormati jasa dan pengorbanan mereka yang menjadi tawanan perang di sini. Sifat kemanusiaan yang ditunjukkan oleh penduduk tempatan menjadi sinar harapan dalam tempoh yang amat perit.
“Kenangan itu terus kekal sebagai ikatan yang berkekalan antara rakyat kita,” katanya.






