Masidi Tidak Tolak Kemungkinan DUN Sabah Bersidang Semula Sebelum PRN17

Masidi Tidak Tolak Kemungkinan DUN Sabah Bersidang Semula Sebelum PRN17

0
SHARE

KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata ada kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bersidang sekali lagi sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 bagi membentangkan Belanjawan Negeri 2026.

Katanya, belanjawan perlu dibentang sama ada sebelum atau selepas PRN bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan kerajaan, termasuk bayaran gaji penjawat awam dan pelaksanaan program-program kerajaan.

“Kalau PRN diadakan awal, kita masih sempat bentang pada November seperti biasa. Tapi kalau DUN dibubar lewat, kita percaya masih ada ruang untuk bentang pada Disember sebelum tahun baharu,” katanya.

Mengulas rundingan kewangan 40 peratus Sabah dengan Kerajaan Persekutuan, Masidi berkata kedua-dua pihak sudah menyatakan pendirian masing-masing dan kini menunggu sesi seterusnya bagi mencari “penyelesaian yang boleh diterima bersama.”

“Sabah tidak akan berkompromi terhadap hak yang termaktub dalam Perlembagaan. Kita faham situasi ekonomi negara, tetapi Sabah berhak menerima apa yang sewajarnya,” tegasnya.

Sementara itu, beliau turut mengulas pengiktirafan Sabah sebagai Malaysia’s Most Outstanding State 2024 oleh ASEAN International Business Review (IBR), menyifatkannya sebagai penghargaan terhadap usaha gigih kerajaan negeri membawa Sabah ke tahap pembangunan yang selama ini sukar dicapai.