PAPAR, SABAH – Pemimpin Pembangunan Masyarakat Limbahau, Datuk Johnny Mositun, menggesa pihak berkuasa berkaitan untuk menilai tahap keselamatan bagi pengguna jalan raya yang melalui jalan Langkuas ke Limbahau di lebuh raya Pan Borneo yang baru dibuka.
Mositun berkata antara langkah yang boleh dilaksanakan ialah memasang pemantul, lampu jalan dan papan tanda di lokasi strategik jalan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan di persimpangan ke Kampung Mook pada Ahad di mana kemalangan membabitkan tiga (3) kenderaan telah berlaku sehari sebelumnya.
“Pihak berkuasa perlu memasang lampu jalan di persimpangan ke Kampung Sulim dan Kampung Mook supaya pengguna jalan raya mempunyai jarak penglihatan yang lebih baik…
“Mereka juga perlu memasang pemantul cermin bagi membantu penglihatan pengguna jalan raya yang keluar dari persimpangan dari Kampung Mook.
“Ini kerana lebuh raya Pan Borneo jauh lebih tinggi daripada simpang dan pemandu yang cuba keluar dari simpang Kampung Mook menghadapi masalah melihat pergerakan kenderaan di jalan raya,” tegasnya.
Menurut Mositun, pihak berkuasa juga perlu memasang papan tanda untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya tentang kehadiran kerbau di kawasan itu.
Beliau juga berterima kasih kepada ketua masyarakat di Kampung Sulim, Langkuas dan Mook yang membangkitkan isu keselamatan jalan raya penduduk kampung kepadanya.
“Saya berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan,” katanya.