PAPAR: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang ketika memukat di perairan Pantai Manis, Kampung Kuala, di sini, sejak 16 Februari lalu, ditemui meninggal dunia semalam selepas empat hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Mangsa, Saimon Ongit, 60, ditemui di kawasan berhampiran Pantai Kampung Sangkabok, kira-kira 71 kilometer dari lokasi beliau dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, PPgB Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Papar pada jam 10.44 pagi, 16 Februari lalu, memaklumkan dua lelaki dikhuatiri hilang di laut ketika menjalankan aktiviti memukat.
“Seorang mangsa, Primus Ujim, 52, berjaya ditemui dalam keadaan selamat pada hari kejadian, manakala seorang lagi dilaporkan hilang dan operasi SAR segera digerakkan bersama PDRM, APM dan APMM,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.
Beliau berkata, operasi hari keempat dimulakan pada jam 8.20 pagi dengan pencarian di sepanjang persisiran pantai Kampung Bundusan hingga ke Muara Pengalat sejauh kira-kira empat kilometer menggunakan bot.
“Pada jam 3.20 petang, keluarga mangsa memaklumkan bahawa mangsa telah ditemui orang awam di Pantai Kampung Sangkabok selepas maklumat penemuan dikongsi melalui aplikasi TikTok.
“Keluarga hadir membuat pengecaman dan mengesahkan identiti mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.23 petang,” katanya.
Sepanjang operasi, seramai 10 anggota BBP Papar digerakkan bersama sebuah jentera FRT, EMRS dan bot, dengan kerjasama lapan anggota PDRM, tujuh anggota APM serta lima anggota APMM.






