SANDAKAN: Seramai lapan individu termasuk kanak-kanak dan seorang warga emas berjaya dipindahkan selepas terperangkap dalam kejadian banjir kilat di Lot 56, Peringkat 1, Batu 12, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.10 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 8.32 pagi.
“Komander operasi melaporkan benar berlaku banjir kilat dan seramai lapan mangsa terperangkap akibat kenaikan paras air.
“Pasukan bomba segera menjalankan operasi pemindahan menggunakan bot penyelamat dan kesemua mangsa berjaya dibawa keluar dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa yang dipindahkan terdiri daripada tiga wanita dewasa, dua kanak-kanak perempuan, dua kanak-kanak lelaki serta seorang warga emas wanita.
Menurut Jimmy, semua mangsa dihantar ke rumah ahli keluarga terdekat yang berada di kawasan tidak terjejas banjir.
“Setelah memastikan keadaan terkawal dan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9 pagi,” katanya.
Operasi melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah Vigo dan sebuah lori Handalan dengan kekuatan tujuh anggota.






