KOTA KINABALU: Seramai 336 penduduk daripada 111 Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas akibat bencana banjir yang melanda dua daerah di Sabah setakat jam 12 tengah hari tadi.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, jumlah mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menunjukkan peningkatan melibatkan daerah Kota Marudu dan Pitas .
JPBN Sabah memaklumkan, Kota Marudu mencatatkan 83 KIR membabitkan 274 mangsa daripada lima kampung yang terjejas, manakala Pitas merekodkan 28 KIR dengan 62 mangsa daripada 19 kampung.
Sebanyak lima PPS telah dibuka bagi menempatkan mangsa banjir iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek 2 di Kota Marudu, serta Sekolah Kebangsaan Rukom Ulu, Dewan Majlis Daerah, Dewan Kusilad dan Dewan Kabatasan di Pitas. Bagaimanapun, dua PPS di Pitas masih dalam proses pendaftaran mangsa.
JPBN Sabah turut memaklumkan setakat ini tiada kematian dilaporkan akibat bencana berkenaan, dan tiada mangsa dilaporkan terkepung di luar PPS .
“JPBN Sabah sentiasa memantau perkembangan semasa dan bekerjasama rapat dengan Pejabat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah bagi memastikan kebajikan mangsa serta keperluan logistik di PPS berada dalam keadaan terkawal,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap amaran cuaca dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga.






