Polis Tahan Lelaki, Rampas 5.05 Gram Syabu Dalam Operasi Awal Pagi di...

Polis Tahan Lelaki, Rampas 5.05 Gram Syabu Dalam Operasi Awal Pagi di Kg Rau-Rau

0
SHARE

SEMPORNA: Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia serta merampas 5.05 gram dadah disyaki jenis syabu dalam satu operasi khas yang dijalankan di Kampung Rau-Rau, Lihak-Lihak, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Polis Tan Hiap Wah berkata, operasi yang dijalankan kira-kira jam 1.30 pagi itu dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna hasil maklumat risikan.

Menurut beliau, ketika serbuan dijalankan, pihak polis menemui seorang lelaki berusia 56 tahun berada di ruang tamu sebuah rumah tidak bernombor dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap beg milik suspek, polis menemui bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 5.05 gram. Suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke IPD Semporna untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah terdahulu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan sebatan tidak kurang tiga kali, jika sabit kesalahan.

Tan menegaskan pihak polis akan terus mempergiatkan operasi membanteras penyalahgunaan serta pengedaran dadah di daerah itu dan menasihatkan orang ramai supaya menjauhi dadah kerana ia bukan sahaja merosakkan diri dan keluarga, malah boleh membawa hukuman berat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah diminta tampil membantu pihak polis.