Kaamatan Serlahkan Keunikan Malaysia Kepada Dunia

Kaamatan Serlahkan Keunikan Malaysia Kepada Dunia

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sambutan Pesta Kaamatan terus menjadi platform penting dalam memperkenalkan keunikan budaya dan warisan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa apabila Tourism Malaysia meraikan ketibaan pelawat domestik serta luar negara menerusi acara sambutan khas sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), pada Jumaat lalu.

Acara tersebut menampilkan pelbagai elemen budaya Sabah yang autentik sebagai usaha memperkukuhkan promosi pelancongan budaya negara dan memberi pengalaman bermakna kepada pelawat yang tiba di Sabah sempena musim perayaan Kaamatan.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, Kaamatan bukan sekadar perayaan masyarakat pribumi Sabah, malah merupakan medium terbaik untuk mempamerkan kepelbagaian budaya Malaysia kepada pelawat dari seluruh dunia.

Menurutnya, para pelawat disambut dengan persembahan kebudayaan, hiasan bertemakan Kaamatan dan sesi interaktif yang menonjolkan keunikan tradisi tempatan sebaik tiba di KKIA.

Pelawat turut menerima cenderamata khas serta berpeluang menikmati hidangan tradisional Sabah seperti bambangan dan losun yang mencerminkan kekayaan warisan kulinari tempatan,” katanya.

Suasana sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan tarian dan muzik tradisional oleh kumpulan kebudayaan Sabah, sekali gus memberikan pengalaman budaya yang lebih mendalam kepada para pengunjung.

Majlis berkenaan disempurnakan secara simbolik menerusi paluan gong tradisional oleh Mohd Amirul Rizal. Turut hadir Pengarah Bahagian Sumber Manusia Tourism Malaysia, Muhamad Nasir Pahmi, Pengarah MOTAC Sabah, Chong Wai Kit serta Ketua Pegawai Strategik Sabah Tourism Board, Humphrey Ginibun.

Pesta Kaamatan yang diraikan setiap bulan Mei merupakan simbol kesyukuran masyarakat Kadazandusun dan komuniti pribumi Sabah terhadap hasil tuaian padi serta penghormatan kepada semangat padi atau Bambaazon. Perayaan itu turut menjadi lambang perpaduan dan kebanggaan budaya rakyat Sabah.

Dalam usaha memperluaskan promosi budaya Malaysia ke pasaran antarabangsa, Tourism Malaysia turut menganjurkan Program Mega Fam selama lapan hari bermula 29 Mei hingga 5 Jun yang melibatkan 15 pempengaruh dan wakil media dari Filipina, Vietnam, China, Korea Selatan dan India.

Program tersebut bertujuan mempromosikan kepelbagaian budaya Malaysia kepada khalayak antarabangsa, selain memperkukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan warisan dan pengalaman budaya unik.

Sehingga Mac 2026, Malaysia merekodkan 10.6 juta ketibaan pelawat antarabangsa, meningkat 5.4 peratus berbanding 10.1 juta ketibaan dalam tempoh sama tahun lalu.

Pencapaian itu mencerminkan perkembangan positif sektor pelancongan negara serta momentum kukuh kempen VM2026 dalam menarik lebih ramai pelawat ke Malaysia.

Tourism Malaysia yakin sambutan budaya seperti Kaamatan dan Gawai mampu terus memperkukuhkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan gabungan unik budaya, warisan dan pengalaman autentik kepada pelawat dari seluruh dunia.