KOTA KINABALU: Peningkatan bayaran interim Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion disifatkan sebagai perkembangan positif yang menunjukkan tuntutan 40 peratus negeri itu kini mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah Tambunan, Datuk Victor P. Paut berkata, walaupun langkah itu dialu-alukan, Kerajaan Negeri akan terus menuntut pelaksanaan penuh hak Sabah seperti termaktub dalam MA63.
“Ia membuktikan pendekatan Kerajaan Negeri Sabah di bawah GRS yang mengekalkan rundingan dan hubungan baik dengan Persekutuan membuahkan hasil. Negeri akan terus memperjuangkan hak termasuk tuntutan 40 peratus walaupun ia bukan proses mudah,” katanya.
Beliau menambah, pendekatan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang memilih rundingan berbanding konfrontasi mencerminkan strategi matang demi memastikan hasil terbaik untuk rakyat, sambil menegaskan perjuangan itu masih berterusan kerana rakyat masih menunggu penyelesaian muktamad.






