TOKYO: Sebahagian tubuh tikus telah ditemukan dalam dua paket roti jenama Chojuku yang dikeluarkan oleh Pasco Shikishima Corp baru-baru ini.
Susulan itu, semalam, pengeluar roti dari Jepun tersebut telah secara sukarela menarik balik kira-kira 104,000 paket roti yang dihasilkan pada barisan pengeluaran yang sama.
Penarikan balik roti itu membabitkan Chojuku Yamagata 5 keping dan Chojuku Yamagata 6 keping yang dihasilkan di Kilang Pasco Tokyo Tama dengan tarikh luput antara 7 Mei dan 11 Mei, lapor agensi Xinhua.
Menurut syarikat itu lagi, tindakan penarikan semula produk dilaksanakan selepas dua pelanggan melaporkan terdapat objek menyerupai haiwan kecil dalam paket roti keping.
Laporan pada Ahad lalu itu telah membawa kepada penyiasatan yang mendapati objek tersebut disahkan sebagai bahagian tubuh tikus.
Bagaimanapun, tiada ancaman kesihatan dilaporkan setakat ini.