KUALA LUMPUR: Maybank Investment Bank (Maybank IB) tidak menolak kemungkinan berlakunya kenaikan harga bahan ruji dan barang keperluan pengguna disebabkan tekanan berterusan terhadap keuntungan kesan daripasa peningkatan kos pengeluaran dan operasi.
Katanya, pengguna turut dijangka akan berbelanja dengan lebih berhati-hati pada tahun ini, lapor DagangNews.com.
“Pengilang makanan dan minuman seperti Nestle Malaysia Bhd telah melaksanakan kenaikan sekurang-kurangnya 5 peratus ke atas produk mereka sebelum ini.
“Langkah itu dikaitkan dengan tekanan kos berterusan daripada bahan mentah seperti koko, kopi, gandum serta tukaran mata wang asing yang semakin lemah,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Maybank IB yang juga merupakan firma penyelidikan itu berkata, bagaimanapun, peningkatan pendapatan boleh guna dalam kalangan pengguna mungkin berlaku berdasarkan pengumuman terkini mengenai langkah sokongan kewangan negara.
Jelasnya, pengenalan akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang boleh diakses bermula 11 Mei ini membolehkan 10 peratus daripada caruman bulanan dikeluarkan pada bila-bila masa.
“Keadaan ini dijangka meningkatkan jumlaj perbelanjaan pengguna secara beransur-ansur dan kebanyakannya tertumpu kepada barang keperluan, utiliti serta makanan dan minuman.
“Kami percaya bahawa impak positif yang lebih besar kepada pendapatan boleh guna akan timbul daripada cadangan kerajaan untuk menaikkan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus yang mula berkuat kuasa pada Disember tahun ini,” katanya.
Tambahnya lagi, secara keseluruhannya sektor itu akan mengalami aliran jualan yang lebih tinggi hasil daripada penambahbaikankepada pendapatan boleh guna dalam kalangan pengguna.