KUALA LUMPUR: Caj RM1 bagi pengeluaran tunai di mesin teler automatik (ATM) dan Mesin Kitar Semula Pintar (SRM) antara bank akan dimansuhkan sepenuhnya bermula 1 Julai 2026, sekali gus membolehkan pelanggan mengeluarkan wang tunai secara percuma tanpa had di seluruh negara.
Menurut laporan Berita Harian, pengumuman itu dibuat menerusi kenyataan bersama Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) pada Selasa.
Ketiga-tiga badan itu memaklumkan bahawa inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) membolehkan pemegang kad debit menggunakan lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara tanpa mengira bank pengeluar kad mereka.
Menurut kenyataan tersebut, pengecualian caj itu terpakai kepada semua ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia, sekali gus memberi kemudahan lebih besar kepada pelanggan untuk mengakses wang tunai apabila diperlukan.
ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, langkah berkenaan mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang lebih mudah diakses, inklusif dan berpatutan kepada rakyat.
“Meskipun penggunaan pembayaran digital terus meningkat, wang tunai masih merupakan kaedah pembayaran penting bagi ramai rakyat Malaysia dalam urusan harian mereka,” menurut kenyataan itu.
Justeru, pemansuhan caj pengeluaran tunai antara bank dilihat mampu meringankan beban kos harian pengguna di samping memastikan akses yang lebih mudah dan boleh dipercayai kepada perkhidmatan perbankan.
Pada masa sama, industri perbankan turut menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran digital serta tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah digunakan seiring perkembangan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital.
Menurut kenyataan itu lagi, sektor perbankan akan terus memperkasakan pelanggan dengan memberikan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan masing-masing, selain memperluaskan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan rakyat secara keseluruhan.





