TANJONG MALIM: Kesanggupan seorang ibu berjalan kaki sejauh tiga kilometer dalam cuaca panas terik demi menghantar meja belajar menjadi pembakar semangat buat Evlyana Cosmas, 24, untuk mencapai kecemerlangan akademik.
Anak kelahiran Kampung Sinarut Lama, Ranau, Sabah itu berjaya meraih Anugerah Pingat Emas Naib Canselor (PENC) kategori Bukan Bumiputera pada Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Ke-28.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Moral) dengan Kepujian itu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.82.
Evlyana berkata, ibunya, Maria Bulu Masan, 58, yang mengambil upah membersihkan rumah dengan bayaran RM50 sehari, sentiasa mengutamakan pendidikan anak-anak meskipun berdepan kekangan kewangan.
Antara pengorbanan ibunya yang tidak dapat dilupakan ialah menyediakan komputer riba berharga hampir RM3,000 ketika beliau menuntut di Tingkatan Enam.
“Pernah saya bertanya sama ada mama mempunyai wang untuk membeli komputer riba kerana saya memerlukannya bagi menyiapkan kerja kursus. Mama jawab, ‘ada, apa pun untuk kamu punya pelajaran, ada’.
“Tidak sampai seminggu, komputer riba baharu sampai di rumah. Duit hasil kerja mama tidak pernah digunakan untuk dirinya sendiri, sebaliknya semuanya untuk membiayai persekolahan kami,” katanya.
Anak sulung daripada tiga beradik itu turut bekerja sambilan sejak semester ketiga bagi menampung keperluan kewangan, selain membahagikan masa antara kuliah, aktiviti persatuan dan sukan.
Malah, sepanjang empat tahun pengajian, beliau tidak pernah pulang ke kampung halaman untuk menyambut Krismas bersama keluarga kerana mengutamakan usaha mengumpul wang bagi membiayai pengajian.
“Pasti ada pelangi selepas badai. Itu ayat yang selalu saya gunakan untuk memujuk diri sendiri setiap kali berdepan kesukaran.
“Perjalanan ini sangat memenatkan, tetapi saya tahu tiada pilihan lain selain perlu menghabiskan pengajian,” katanya.
Evlyana kini bekerja sambilan di kilang Proton bagi mengumpul wang sebagai persediaan sebelum ditempatkan mengajar, selain menyimpan impian melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana sekiranya berkemampuan.






