10 Nelayan Filipina Berjaya Diselamatkan Polis Marin Selepas ATB 2 Kesan Bot...

10 Nelayan Filipina Berjaya Diselamatkan Polis Marin Selepas ATB 2 Kesan Bot Karam

0
SHARE
Bot nelayan Filipina ML RIHANA yang semakin tenggelam selepas 10 anak kapal berjaya diselamatkan pasukan marin negara terbabit dengan hasil maklumat petugas keselamatan negara berhampiran Pulau Bakungan di Sandakan...(Sumber Foto: Ihsan ATB 2)

SANDAKAN, SABAH – SEPULUH (10) nelayan Filipina berjaya diselamatkan selepas bot mereka yang karam dikesan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2).

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata kejadian berlaku di perairan sempadan negara berhampiran Pulau Bakungan Kecil.

Katanya alat radar yang terletak di pulau tersebut membuat pengesanan terbabit sekitar jam 9.50 pagi semalam.

“Pegawai Bertugas Pusat Operasi Wilayah Bersama telah bertindak menyalurkan maklumat berkenaan kepada Pegawai Staf 2 Udara Malaysia Maritime Command Centre (MCC) untuk tindakan dan pengesahan maklumat…

“Malaysia MCC seterusnya telah bertindak menyalurkan maklumat berkenaan kepada Philippine Maritime Command Centre (MCC) untuk menyelaras operasi menyelamat luar sempadan perairan Malaysia,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Katanya pada jam 10.50 pagi, sebuah operasi menyelamat telah dilaksanakan oleh Pasukan Marin Filipina dari Pulau Taganak.

“Hasil maklumat yang diperolehi dari Filipina MCC di Tawi-Tawi, operasi menyelamat kesemua awak-awak bot karam yang didaftarkan sebagai ‘ML RIHANA’ berjaya dilaksanakan…

“Kejadian dipercayai berlaku disebabkan kebocoran di bahagian badan bot kerana pukulan ombak yang kuat namun kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan parah,” kata Abdul Karim.

Fasa Monsun Timur Laut yang dijangka akan berterusan sehingga Mac 2022 boleh menyebabkan laut bergelora dan ombak besar di perairan Pantai Timur Sabah.

“Namun begitu, situasi dan keadaan monsun tersebut bukannya menjadi halangan serta kekangan kepada setiap anggota yang bertugas untuk memastikan misi menjaga kedaulatan negara tercinta sentiasa diperkasakan dengan kukuhnya,” ujarnya.