KINABATANGAN, SABAH – LAPAN (8) buah keluarga dari Kampung Pengkalan Bukit Garam sini mengambil inisiatif sendiri untuk berpindah ke dewan kampung sebagai langkah keselamatan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, setakat jam 10 pagi tadi, bacaan paras air Sungai Kinabatangan berada pada paras amaran sedalam 9.45 meter.
“Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan melaporkan keadaan cuaca ketika ini adalah mendung,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Hujan lebat yang berterusan di kawasan pedalaman mengakibatkan rumah mangsa yang berhampiran sungai mula dinaiki air.
Namun demikian, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam berkata semua pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah ditutup sepenuhnya pada jam 6.30 petang semalam.





