LAHAD DATU, SABAH – Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), meluluskan projek yang melibatkan peruntukan kira-kira RM199,850 bagi menaik taraf fasiliti destinasi-destinasi pelancongan di daerah ini.
Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, perkara antara usaha kementerian untuk membantu pengusaha pelancongan dalam memastikan semua kemudahan infrastruktur di premis pelancongan dalam keadaan yang baik dan selesa untuk dikunjungi.
Beliau berkata demikian dalam satu lawatan kerja ke Menara Kayangan dan Air Terjun Hutan Simpan Sapagaya, sini, semalam.
“Menara Kayangan dibina di atas Gunung Silam terletak 11 kilometer dari bandar Lahad Datu. Menara pemerhatian ini menyajikan pemandangan alam semula jadi hutan simpan Sapagaya dan Teluk Darvel.
“Terkini dalam usaha untuk mewartakan Taman Marin Teluk Darvel, pihak Taman Taman Sabah sedang menyediakan pelan cadangan sempadan warta bersama penyediaan borang permohonan tanah kepada Jabatan Tanah dan Ukur.
“Ini adalah persediaan untuk proses niat warta yang dijangka boleh dibuat pada hujung tahun ini,” jelasnya.
Untuk rekod, menara itu berjaya menarik ramai pelancong tempatan dan luar negara. Walaubagaimanapun, sehingga kini kawasan terbabit masih tiada bekalan elektrik.
Untuk itu, Jafry telah meminta Jabatan Perhutanan untuk mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk menaiktaraf kemudahan infrastruktur agar tempat itu mampu diangkat menjadi destinasi pilihan dalam kalangan pelancong dari dalam dan mahupun luar negara kelak.
“KePKAS sentiasa komited membantu dalam memberi sokongan kepada semua agensi, jabatan dan pengusaha pelancongan bagi merancakkan semula industri pelancongan dalam negeri,” tambahnya.