KOTA KINABALU: Bapa seorang petani, ibu seorang suri rumah, namun latar belakang keluarga berpendapatan rendah bukan penghalang buat tiga beradik dari Kampung Naluyan, Tenom untuk mencipta kejayaan membanggakan apabila masing-masing berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada hari yang sama.
Wong Vui Kiong, 32, bersama dua adik kembarnya, Wong Vui Ken dan Wong Vui Chuen, masing-masing berusia 30 tahun, diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-28, di Dewan Canselor, di sini, hari ini.
Vui Kiong dan Vui Ken memperoleh PhD dalam bidang Ekonomi Kewangan, manakala Vui Chuen dalam bidang Keusahawanan.
Lebih menarik, kejayaan bergraduasi serentak itu tidak pernah dirancang memandangkan ketiga-tiga mereka memulakan pengajian pada waktu berbeza.
“Kami tidak merancang untuk bergraduasi bersama, tetapi secara kebetulan akhirnya kami bertiga bergraduasi pada hari yang sama. Kami sangat gembira kerana dapat membanggakan ibu bapa.
“Kami berasal dari sebuah pekan kecil, Tenom. Bapa seorang petani dan ibu suri rumah. Kami dalam kategori B40, namun kami bersyukur kepada Tuhan serta berterima kasih kepada ibu bapa dan abang-abang yang menyokong kami untuk meneruskan pengajian,” kata Vui Kiong ketika ditemui selepas majlis konvokesyen berkenaan.
Menyedari kekangan kewangan keluarga, tiga beradik itu turut menjana pendapatan sendiri sebagai tutor sambilan di fakulti bagi membiayai yuran pengajian masing-masing.
“Sebelum mendaftar pengajian PhD, kami sudah mendapat tawaran sebagai tutor sambilan di fakulti. Jadi, kami memperoleh pendapatan sendiri dan membayar yuran sendiri.
“Sekiranya tidak cukup wang, barulah kami meminta bantuan ibu bapa kerana keluarga kami juga susah,” katanya.
Vui Kiong mengambil masa tujuh tahun untuk menamatkan pengajiannya selepas beralih daripada pengajian sepenuh masa kepada separuh masa, manakala kedua-dua adik kembarnya mengikuti pengajian sepenuh masa.
Sementara itu, Vui Ken menyimpan hasrat untuk memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang pengajian bagi membantu golongan petani di kampung halamannya meningkatkan pendapatan.
“Saya mahu menggunakan kemahiran yang dipelajari sepanjang pengajian PhD untuk merangka kursus yang dapat membantu petani di Tenom.
“Saya mahu membantu mereka dalam aspek pengurusan rekod dan penanaman supaya mereka dapat menjual hasil tanaman serta memperoleh pendapatan yang mencukupi. Itulah cara saya mahu menyumbang kepada kampung halaman saya,” katanya.
Vui Chuen pula mengikuti pengajian dalam bidang Keusahawanan dan merupakan individu pertama antara mereka bertiga yang menyelesaikan sesi viva, menurut Vui Kiong.
Ketiga-tiga mereka merupakan anak keempat, kelima dan keenam daripada enam beradik lelaki serta menjadi yang pertama dalam kalangan adik-beradik mereka mengikuti pengajian di peringkat PhD.
Selepas menggenggam ijazah kedoktoran, tiga beradik itu kini berkongsi aspirasi untuk bergelar pensyarah dan meneruskan khidmat dalam bidang pendidikan.
Mereka telah mengemukakan permohonan untuk menjadi pensyarah di UMS dan turut bersedia mempertimbangkan peluang di universiti lain sekiranya tiada kekosongan.
Bagi tiga beradik itu, kejayaan menggenggam PhD serentak bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi juga detik membanggakan buat keluarga petani yang sentiasa menyokong perjalanan pendidikan mereka.






