KPM, KPT Saring Bersama Lulusan SPM Cemerlang

KPM, KPT Saring Bersama Lulusan SPM Cemerlang

0
SHARE
KPM
Logo Kementerian Pendidikan Malaysia (Sumber Foto Google)

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyaring lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keputusan 10A ke atas yang tidak menerima tawaran untuk menyambung pengajian.

Memetik sumber Berita Harian, dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, kementerian itu berkata akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan membuat saringan itu berdasarkan permohonan dikemuka di dua platform.

Platform berkenaan ialah permohonan ke Program Matrikulasi di bawah KPM dan melalui UPUOnline oleh Bahagian Kemasukan Pelajar Intitusi Pendidikan Tinggi Awam, di bawah KPT.

Ketetapan itu, katanya, dibuat bagi memastikan pelajar cemerlang SPM dan daripada keluarga B40 mendapat peluang melanjutkan pengajian, selain sistem kuota Bumiputera sedia ada bagi Program Matrikulasi KPM kekal dan tidak terjejas.

Katanya, ketetapan itu sebagai menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain menyuarakan komitmen kerajaan memastikan akses pendidikan dapat dipertingkat demi manfaat semua pelajar.

“Ini bagi membolehkan mereka (lepasan SPM dengan keputusan 10A ke atas) yang tidak ditawarkan tempat dapat diselaras semula tawaran berdasarkan kepada pilihan program pelajar.

“Tawaran tempat dan jurusan bergantung kepada kelayakan calon dan kekosongan Program Matrikulasi KPM, manakala KPT akan fokus kepada kemasukan program asasi dan diploma di universiti awam,” katanya.

Baru-baru ini, dilaporkan kerajaan memberi jaminan semua lulusan SPM dengan keputusan 10A ke atas serta memohon melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, akan mendapat tempat tanpa mengira kaum atau latar belakang.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, keputusan itu dicapai Kabinet, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, katanya, kuota sedia ada bagi pelajar Bumiputera dalam Program Matrikulasi KPM, tidak terjejas dan kekal seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.