KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa kerajaan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas bagi memastikan kepentingan negara terjamin dalam usaha menjaga nyawa rakyat.
Beliau yang merupakan Ketua Pembangkang berkata demikian berhubung kemungkinan penularan varian baharu COVID-19 di Malaysia dengan bakal kemasukan pelancong dari negara China susulan pembukaan sempadan negara itu pada 8 Januari nanti.
Menurutnya, SOP tersebut mestilah bersifat mencegah agar penularan varian tersebut dapat dibendung dengan berkesan.
“Ianya haruslah adil kepada semua pihak bagi memelihara kelangsungan kehidupan rakyat, terutama mereka yang terlibat dalam industri pelancongan dan perniagaan.
“SOP tersebut juga mestilah mempunyai perincian yang mampu memantau serta menjejaki pengembara yang berada dalam negara dan mengambil kira keupayaan sistem kesihatan awam.
“Kerajaan wajar dengan segera mengaktifkan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan semua jabatan dan agensi kerajaan bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pautan yang dimuat naik dalam laman media sosial Facebook rasminya, hari ini.
Dilaporkan sebelum ini, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Dr Noor Hisham berkata sehingga 31 Disember 2022, sebanyak 4,152 kes varian BA.5.2 dan 3 kes varian BF.7 telah direkodkan di seluruh negara.
Sehubungan dengan itu, Hamzah berkata kenyataan terbabit telah melahirkan kebimbangan di kalangan rakyat berkenaan perkembangan kes COVID-19 di serata dunia.
Katanya, ini terutamanya di China sehingga ada yang mencadangkan agar sempadan negara ditutup bagi pengembara dari negara terbabit.