Dua Produk Kosmestik Dikesan Mengandungi Racun Berjadual Oleh KKM

Dua Produk Kosmestik Dikesan Mengandungi Racun Berjadual Oleh KKM

0
SHARE

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menggesa orang awam tidakĀ  menggunakan produk kosmetik Flashhskinzz Night Cream dan Rissa Skin Moisturiser yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham, berkata produk Flashhskinzz Night Cream mengandungi hidrokuinon (hydroquinone).

Manakala bagi produk Rissa Skin Moisturiser mengandungi hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate.

“Notifikasi produk kosmetik terbabit sudah dibatalkan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham menjelaskan produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17- valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

Menurutnya, ia hanya boleh digunakan dengan nasihat dan pengawasan ahli profesional kesihatan.

“Penggunaan produk boleh menyebabkan kesan sampingan tidak diingini seperti hidrokuinon menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

“Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

“Betamethasone 17-Valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat,” katanya.

Katanya, penjual dan pengedar produk kosmetik perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik itu dengan serta-merta.

“Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.