SEPANG: AirAsia Berhad berjaya melengkapkan audit pembaharuan Audit Keselamatan Operasi (IOSA) Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), sekali gus melanjutkan tempoh sah pendaftarannya sehingga 8 Disember 2028.
Pengurus Besar AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, pencapaian itu memperkukuh komitmen syarikat dalam mengekalkan piawaian keselamatan penerbangan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Sebagai syarikat penerbangan rakyat, kami komited untuk memastikan perjalanan udara kekal mampu milik dan mudah diakses, di samping mengekalkan piawaian keselamatan tertinggi.
“Kejayaan pembaharuan IOSA ini mencerminkan profesionalisme dan dedikasi kolektif warga kerja kami dalam mengekalkan kecemerlangan operasi,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Audit pembaharuan kali ini dilaksanakan menerusi pendekatan IOSA Berasaskan Risiko (RBI), dengan AirAsia memperoleh penarafan ‘Mature’ (Matang) dalam audit RBI pertamanya.
Penarafan itu mencerminkan penilaian positif terhadap proses pengurusan keselamatan dan amalan operasi syarikat penerbangan berkenaan.
IOSA merupakan rangka kerja audit yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi menilai sistem pengurusan dan kawalan operasi syarikat penerbangan berdasarkan piawaian industri yang ditetapkan.
Pencapaian tersebut hasil usaha kolektif pasukan AirAsia merangkumi operasi penerbangan, kru kabin, kejuruteraan, operasi darat dan pengurusan keselamatan.
Fareh berkata, AirAsia akan terus memperkukuh amalan serta budaya keselamatan dalam semua aspek operasinya, selain memastikan perkhidmatan penerbangan kekal mampu milik tanpa mengkompromikan keselamatan penumpang.






