Disagree Kembali Gegar Pentas, Ipoh Buka Tirai Siri Lelajah

Disagree Kembali Gegar Pentas, Ipoh Buka Tirai Siri Lelajah

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Selepas lebih sedekad menyepi, kumpulan rock alternatif Malaysia, Disagree kembali menemui peminat menerusi siri jelajah ‘Let’s Do It All Again Tour’ bersama dua kumpulan muzik alternatif tempatan, Motherland dan Private Whizz.

Siri jelajah itu membuka tirainya di Insider Satellite, Ipoh, Perak, malam ini, dengan turut menampilkan kumpulan muzik tempatan, HEM, sebagai artis undangan.

Penganjuran siri jelajah berkenaan merupakan kesinambungan perjalanan muzik Disagree sepanjang 2026, susulan Konsert Black & White in Colour di REXKL pada Oktober lalu.

Menurut kenyataan media, kolaborasi tiga kumpulan itu bertujuan meraikan semangat persaudaraan dan kebebasan berkarya, selain merapatkan jurang antara generasi pencinta muzik alternatif tempatan.

Siri jelajah itu turut mendapat sokongan RAKITA selaku Rakan Radio Rasmi dalam usaha memperkasakan ekosistem muzik independen negara.

Disagree mula mencipta nama pada awal era 2000-an menerusi beberapa lagu popular antaranya ‘Crumbs’, ‘Suicide Note’, ‘Scarecrow Adams’, ‘Osaka’ dan ‘Haley’.

Kumpulan itu juga pernah beraksi di festival Rock The World serta berkongsi pentas dengan kumpulan antarabangsa seperti Hoobastank dan The All-American Rejects.

Selepas lebih sedekad menyepi, Disagree kembali pada 2026 menerusi single ‘Let’s Do It All Again’ daripada album baharu mereka, Black & White in Colour.

Persembahan di Ipoh dijadualkan bermula jam 8 malam dengan tiket berharga RM40 bagi kategori kemasukan umum dan RM70 bagi pembelian di lokasi, manakala tiket Early Bird berharga RM30 sudah habis dijual.