Sambutan Hari Pahlawan 2024 Dimeriahkan 7,000 Orang

Sambutan Hari Pahlawan 2024 Dimeriahkan 7,000 Orang

0
SHARE
Pahlawan
Persembahan Gabungan PDRM, ATM,TLDM dan RELA ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024 yang berlangsung di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dimeriahkan kira-kira 7,000 warga Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya, semalam.

Sambutan dimulakan dengan perarakan masuk 25 kontinjen perbarisan yang melibatkan agensi penguatkuasaan, badan kerajaan, pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta pelajar sekolah.

Perbarisan lintas lalu turut diiringi oleh Pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM),Tentera Darat Malaysia (TDM),Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sabah.

Acara diteruskan dengan menaikkan Jalur Gemilang, Bendera Sabah serta lagu “Negaraku” dan “Sabah Tanah Airku”, diikuti dengan tiupan paluan akhir untuk menurunkan bendera oleh PDRM bagi menghormati mangsa yang terkorban.

Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri HajijiĀ  Noor tiba kira-kira jam 7.48 pagi kemudiannya menerima tabik hormat daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah dengan diiringi oleh Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Manakala, Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin tiba pada jam lapan pagi turut menerima Tabik Hormat DiRaja daripada Kawalan Kehormatan PDRM (Pecah Bendera) dan memeriksa kawalan kehormatan.

Tun Juhar bersama Hajiji kemudian kemudiannya meluangkan masa melawat pameran Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri.

Antara pengisian lain ialah Persembahan Khas oleh ATM, bacaan sajak pahlawan, tiupan ‘Rouse’, Perbarisan Veteran ATM dan PDRM, pameran dan penyampaian sumbangan kepada balu dan keluarga anggota keselamatan yang terkorban semasa insiden pencerobohan berdarah Kampung Tanduo di Lahad Datu.

Turut menarik perhatian pengunjung persembahan gabungan PDRM, TLDM, TDM dan RELA Sabah.

Hadir sama pada Majlis itu Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Kadzim M Yahya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Mohd.Arifin Mohd.Arif, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Datuk James Ratib, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, Timbalan-Timbalan Speaker DUN dan Pembantu- Pembantu Menteri. — JABATAN PENERANGAN SABAH