KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Sabah Electricity (SE) mempercepatkan kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik yang menjejaskan sehingga lapan daerah di Pantai Timur Sabah susulan runtuhnya sebuah menara penghantaran elektrik di Ranau.
Beliau turut meminta bekalan elektrik sementara disediakan dengan memberi keutamaan kepada sekolah, pusat peperiksaan dan kemudahan awam kritikal.
Anwar menerusi kenyataan di Facebook hari ini menzahirkan rasa dukacita terhadap gangguan berkenaan yang menimbulkan kesulitan dalam urusan harian penduduk, khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Sabah Electricity perlu mempercepat kerja pemulihan agar bekalan dapat dipulihkan lebih awal daripada jadual. Sediakan bekalan elektrik sementara dengan mengutamakan sekolah, pusat peperiksaan dan kemudahan awam kritikal,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan tindakan pantas dalam menangani bencana bagi mengurangkan kesulitan yang terpaksa ditanggung rakyat.
“Bencana mungkin sukar dielakkan, tetapi kepantasan kita bertindak menentukan berapa lama rakyat terpaksa menanggung kesannya. Setiap jam sangat bermakna buat mereka,” katanya.






