KOTA KINABALU, SABAH – LIMA (5) lelaki diatas sebuah bot laju bertindak terjun ke laut dan berenang ke pantai berhampiran Tanjung Wokong di Pulau Gaya sini bagi mengelak diri daripada ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Sejurus selepas kejadian 12.30 tengah malam semalam, Maritim Malaysia menemui beberapa fius yang disyaki digunakan bagi tujuan aktiviti mengebom ikan di atas bot tanpa nombor pendaftaran terbabit.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama (M) Datuk Hj. Mohd Rosli Abdullah berkata, ianya dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan semasa rondaan rutin penguatkuasaan di sekitar perairan Kota Kinabalu.
“Hasil pemeriksaan forensik ke atas beberapa ekor ikan di atas bot tersebut mendapati bahagian dalam perut ikan tersebut hancur kesan daripada aktiviti mengebom…
“Bot, peralatan mengebom serta 150 kilogram ikan pelbagai jenis dirampas dan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Sabah, Sepanggar untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 26, Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan bahan letupan.
Rosli mengingatkan komuniti maritim agar tidak melakukan aktiviti mengebom ikan kerana aktiviti ini amat bahaya kepada manusia dan hidupan laut.
“Aktiviti mengebom boleh membawa kecederaan yang parah dan menyebabkan kematian kepada si pelaku serta komuniti maritim yang sedang melakukan aktiviti menyelam di kawasan berhampiran,” tegasnya.