TAWAU, SABAH – Kerajaan negeri menerusi Rancangan Malaysia ke-12 telah memperuntukkan sebanyak RM 1 juta untuk peningkatan kemudahan infrastruktur pelancongan di Taman Bukit Tawau.
Projek telah dimulakan pada tahun 2021 dan dijangka akan siap sepenuhnya pada Februari 2022 ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin dalam satu lawatan kerja ke Taman itu semalam berkata, pihak Taman-Taman perlu fokus untuk memberikan dan menaiktaraf perkhidmatan dan kemudahan yang terbaik memandangkan kawasan tersebut merupakan kawasan tumpuan kepada pelancong terutamanya di kawasan sekitar daerah Tawau.
“Dua projek yang dibiayai oleh kerajaan persekutuan termasuk Projek Laluan Pejalan Kaki ke Air Terjun Taman Bukit Tawau dengan kos berjumlah RM172,286 dan Pembaikan Viewing Platform Table Waterfall melibatkan peruntukan sebanyak RM183,386 juga telah siap sepenuhnya…
“Kini, usaha kementerian selain menaiktaraf kemudahan infrastruktur adalah meningkatkan promosi agar mampu menarik kedatangan pelancong kerana Taman Bukit Tawau ini memiliki kelebihan tersendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Jafry turut berkesempatan untuk melawat Batu Bersusun Balung Cocos yang berpotensi untuk dimajukan seterusnya boleh dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan berasaskan komuniti.
“Batu-batu ini tersusun secara semulajadi. Keadaan batu-batu itu kelihatan seperti di susun oleh manusia namun sebaliknya pembentukkannya adalah semulajadi disebabkan aliran magran selepas letusan gunung berapi, yang mempunyai ketinggian 1,182 meter dari paras laut yang terletak 24km dari utara Bandar Tawau,” jelasnya.





