SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen Shah Alam memutuskan pempengaruh media sosial dan penyanyi rap, Caprice, telah memfitnah pendakwah bebas Ebit Lew menerusi beberapa kenyataan yang diterbitkan pada 2023.
Susulan keputusan itu, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 40, diperintahkan membayar ganti rugi berjumlah RM220,000 kepada Ebit serta membuat permohonan maaf.
Hakim Zuhrina Mohamed Nor turut mengarahkan Caprice memadamkan tujuh kenyataan yang dibuat bersama pempengaruh Indonesia, Mondy Tattoo, dalam tempoh 48 jam.
Mahkamah juga mengeluarkan perintah melarang Caprice daripada mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan berhubung Ebit, atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 42, pada masa akan datang.
Dalam keputusan sama, tuntutan balas yang dikemukakan Caprice turut ditolak selepas mahkamah mendapati tuntutan tersebut tidak berasas.
Pertikaian berkenaan berpunca daripada sebuah rakaman video yang dimuat naik pada 15 September 2023 dengan menampilkan Mondy sebagai tetamu.
Dalam saman tersebut, Ebit mendakwa kandungan rakaman berkenaan membawa beberapa maksud yang mencemarkan reputasinya, termasuk dakwaan berkaitan gangguan seksual dan mengambil kesempatan terhadap Mondy, selain melabelkannya sebagai tidak bertanggungjawab serta penunggang agama.
Ebit turut mendakwa rakaman tersebut diterbitkan tanpa mendapatkan pengesahan terlebih dahulu daripadanya atau pihak peguamnya dan penerbitannya kemudian mengundang pelbagai komen negatif, cacian serta makian terhadapnya di media sosial.
Dalam prosiding berkenaan, Ebit diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, manakala Caprice diwakili Mohd Rezan Ezra Muhammad Mosinal.
Selepas keputusan mahkamah diumumkan, Ebit menerusi media sosial menyatakan rasa syukur atas kemenangan saman berkenaan dan memaklumkan Caprice diperintahkan memohon maaf serta membayar keseluruhan RM220,000 kepadanya.






