Sabah Perlu Selaraskan Pembangunan Buruh Dengan Pendidikan dan Teknologi

Sabah Perlu Selaraskan Pembangunan Buruh Dengan Pendidikan dan Teknologi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah perlu menyelaraskan pembangunan pasaran buruh dengan kemajuan pendidikan, teknologi dan inovasi bagi memastikan negeri ini mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah, Datuk James Ratib berkata, pengukuhan pasaran buruh tidak boleh dilihat semata-mata sebagai isu pekerjaan, sebaliknya perlu digerakkan secara menyeluruh melalui pembangunan bakat, penguasaan teknologi serta sistem pendidikan yang responsif terhadap kehendak industri.

Menurutnya, jika ketiga-tiga elemen itu digerakkan secara selari, Sabah bukan sahaja mampu memperkukuh pasaran buruhnya, malah berpotensi muncul sebagai hab bakat dan inovasi di wilayah Borneo.

“Jika pendidikan, teknologi dan strategi pasaran buruh digerakkan secara selari, Sabah bukan sahaja mampu memperkukuh pasaran buruhnya, malah berpotensi muncul sebagai hab bakat dan inovasi di wilayah Borneo,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Bengkel Pelan Tindakan Pengukuhan Pasaran Buruh Negeri Sabah 2026 yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia Malaysia bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di sini, pada Jumaat lepas.

James berkata, pembangunan ekosistem bakat yang kukuh memerlukan kerjasama strategik antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, institusi pendidikan dan pihak industri bagi memastikan setiap dasar serta program pembangunan bakat dapat diselaraskan secara bersepadu.

Dalam masa sama, katanya kementeriannya memberi penekanan kepada pengukuhan latihan teknologi tinggi, pembangunan inovasi serta peluasan capaian internet dan infrastruktur digital, khususnya di kawasan luar bandar.

Beliau turut menyifatkan pendekatan perancangan pasaran buruh berasaskan data melalui platform MYFutureJobs sebagai langkah tepat bagi memperkukuh analisis pasaran kerja serta meningkatkan padanan pekerjaan.

Tambahnya, penyelarasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan keperluan industri, selain pelaksanaan program reskilling dan upskilling, serta penglibatan aktif majikan dalam pembangunan latihan merupakan antara langkah penting untuk memastikan graduan Sabah memiliki kemahiran teknologi yang diperlukan pasaran.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, yang menyampaikan ucapan penutup bengkel tersebut, serta Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO, Datuk Hj Asri Abdul Rahman.