
KUALA LUMPUR – Pelatih pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr Amalina Che Bakri, 34, mengumumkan sudah berkahwin dan sah bergelar isteri kepada jejaka Eropah pilihannya, Alexander Charles dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Masjid Central London pada Rabu lalu.
Pengumuman berita gembira itu dikongsi Dr Amalina menerusi laman media sosial Instagram malam tadi.
Menerusi entri itu, Dr Amalina berkongsi dua foto bersama suaminya yang juga jejaka Eropah.
Dr Amalina memaklumkan majlis akad nikah mereka diadakan di London Central Mosque selepas tiga kali majlis terpaksa ditunda akibat perintah berkurung.
“Kami lega kerana berjaya melakukan majlis ringkas yang dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat (hanya enam tetamu seperti peraturan pihak berkuasa UK).
“Perancangan asal adalah untuk buat majlis resepsi pada Mac (Malaysia) dan Jun (UK) pada tahun ini. Namun, kami terpaksa tunda majlis resepsi sehingga kami yakin semua orang boleh hadir.
“Kami berharap dapat meraikan hari istimewa ini bersama insan tersayang dan rakan nanti,” katanya.

Sementara itu, memetik laporan New Straits Times, Dr Amalina meluahkan perasan sedih apabila ibunya, Sabariah Hassan tidak dapat hadir menyaksikan hari bahagianya kerana syarat ketat untuk ke luar negara.
Bagaimanapun, Dr Amalina berkata, dia mengambil inisiatif untuk mengabadikan kenangan indah bersama ibunya menerusi aplikasi FaceTime.
“Saya gembira upacara akad nikah dapat disaksikan ibu menerusi FaceTime. Saya dan suami berharap dapat mengadakan majlis resepsi apabila berpeluang pulang ke Malaysia,” katanya.