KUDAT: Polis sedang mengesan identiti seorang lelaki yang mayatnya ditemukan dalam keadaan terapung sebelum terdamar di tepi Pantai Kampung Damaran, Pulau Banggi, pada pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Kudat, Supt. Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu kira-kira jam 11.30 pagi pada 8 Julai.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Karakit kemudian bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.
“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati mayat tersebut adalah seorang lelaki dewasa yang identitinya masih belum dikenal pasti. Pemeriksaan lanjut juga tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri atau barang yang boleh membantu mengenal pasti identiti mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut beliau, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).
Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kudat untuk tindakan lanjut, termasuk proses bedah siasat dan pengecaman identiti.
Sehubungan itu, Mohd Haris memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai identiti mangsa atau kehilangan ahli keluarga supaya tampil membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, ASP Mohd Yassin Sagap, Ketua Polis Balai Karakit di talian 013-5545531 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama orang ramai amat penting bagi membantu polis mengenal pasti identiti mangsa dan melengkapkan siasatan kes.






