500 Diperiksa, 103 Warga Asing Dengan Pelbagai Kesalahan Ditahan Dalam Operasi JIM...

500 Diperiksa, 103 Warga Asing Dengan Pelbagai Kesalahan Ditahan Dalam Operasi JIM Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah memeriksa seramai 500 individu dan menahan 103 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen menerusi beberapa operasi penguatkuasaan di Kota Kinabalu, Keningau, Sandakan dan Tawau.

Dalam kenyataannya hari ini, JIM Sabah memaklumkan operasi berkenaan dilaksanakan menerusi Ops Kutip, Ops Belanja, Ops Jaja, Ops Sapu, Ops Selera serta operasi bersama agensi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negeri ini.

Di Kota Kinabalu, seramai 94 individu diperiksa dengan 32 warga asing ditahan kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Di Keningau pula, Ops Sapu dan Ops Kutip memeriksa 77 individu dan membawa kepada penahanan 21 warga asing.

Sementara itu, operasi di Sandakan melibatkan pemeriksaan terhadap 68 individu dengan 28 warga asing ditahan, manakala di Tawau, seramai 261 individu diperiksa dan 22 warga asing ditahan.

Kesemua yang ditahan terdiri daripada warga Filipina, Indonesia, Pakistan dan India, melibatkan lelaki, wanita serta kanak-kanak yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara terus dipelihara.

Orang ramai turut diingatkan agar tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara, selain digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan PATI melalui saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia.