KOTA KINABALU, SABAH – Orang ramai yang sudah mendaftar di MySejahtera tetapi belum mendapat temujanji untuk vaksinasi boleh hadir secara terus ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ada berdekatan di sekitar kawasan tempat tinggal mereka.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya berkata, bagi mereka yang berada di sekitar Kota Kinabalu, boleh ke PPV Dewan Sri Putatan, PPV Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan PPV Wisma Wanita.
“Individu di sekitar Kota Kinabalu yang sudah mendaftar untuk menerima vaksin melalui MySejahtera tetapi belum mendapat temujanji boleh hadir secara terus ke PPV Dewan Sri Putatan, PPV Universiti Malaysia Sabah (UMS), dan PPV Wisma Wanita…
“Ini bagi mengelak kesesakan berlaku di sesetengah PPV yang mempunyai kapasiti tinggi. Kita mahu rakyat yang hadir ke PPV untuk menerima vaksin berasa selesa dan selamat,” katanya.
Shahelmey yang juga merupakan Pengarah Operasi Program Imunisasi (CITF) negeri itu berkata, keutamaan akan diberikan kepada warga emas yang hadir ke PPV dengan menyediakan laluan warga emas di setiap PPV yang ada.
“Bagi warga emas yang belum mendapatkan vaksin, mereka boleh hadir terus ke mana-mana PPV yang berdekatan dengan kawasan tempat tinggal mereka dan akan diberikan keutamaan dalam proses mendapatkan vaksin…
“Kita mahu mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 ini terutamanya kepada warga emas yang mempunyai risiko tinggi untuk mendapat jangkitan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika membuat kenyataan semasa menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN) Datuk Masnah Matsalleh di pejabatnya hari ini.
Shahelmey berharap pemimpin masyarakat setempat,orang ramai serta majikan-majikan akan terus memberi kerjasama dalam membantu kerajaan dalam usaha mencapai imuniti kelompok.
Beliau juga menyeru orang ramai agar tampil mendapatkan vaksin di PPV yang berdekatan dengan kediaman mereka tanpa perlu mendapat temujanji daripada MySejahtera.
“Ini agar kita dapat kembali menjalankan kehidupan harian kita dengan lebih selamat. Dengan pengambilan vaksin ini kita dapat mengurangkan risiko jangkitan di kalangan masyarakat,” katanya.