Penjawat Awam Terlibat Penyalahgunaan Dadah Didenda RM2,400

Penjawat Awam Terlibat Penyalahgunaan Dadah Didenda RM2,400

0
SHARE

KUCHING, SARAWAK – Seorang penjawat awam berjawatan penolong jurutera di sebuah agensi kerajaan dijatuhi hukuman denda RM2,400 oleh Mahkamah Majistret di sini, kelmarin kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah, dua tahun lalu.

Tertuduh Akmal , 35, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Syarifah Fatimah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda.

Selain itu, tertuduh juga diperintahkan dalam pengawasan polis selama dua tahun selepas membayar denda atau menjalani hukuman penjara.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memasukkan dadah terlarang jenis Methamphetamine dan Amphetamine ke dalam badannya.

Dia melakukan perbuatan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching, kira-kira jam 12.20 tengah malam, 17 Mei 2020.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes,pada 17 Mei 2020, kira-kira jam 12.20 tengah malam, pihak polis telah menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Hasil saringan awal air kencing tertuduh didapati positif dadah.

Hasil laporan sampel urin tertuduh dari Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak mengesahkan mereka positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran.