KOTA KINABALU, SABAH – Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) adalah Parti yang memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan, khususnya hak-hak Orang Asal di Sabah.
Presiden STAR, Datuk Seri Panglima, Dr Jeffrey G Kitingan berkata, parti ini tidak akan melindungi mana-mana ahli sekiranya mereka terlibat dalam kesalahan atau mencemarkan nama baik parti.
“Ini termasuk kejadian baru -baru ini di mana seorang ahli parti telah didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seorang wanita. Untuk menunjukkan kesungguhan kami menangani isu ini, ahli tersebut telah digantung dari semua jawatan di dalam parti…
“Lembaga disiplin parti akan bersidang dalam masa terdekat ini untuk memutuskan status keahliannya,” katanya.
Kitingan menyatakan kekesalannya kerana kejadian itu telah menimbulkan kesusahan di kalangan ahli-ahli STAR dan secara langsung telah mendedahkan parti terhadap serangan-serangan daripada pihak lawan politik mereka.
“Individu ini bertindak mengikut kemahuannya sendiri dan tidak ada kaitan dengan parti STAR. Sebarang usaha untuk menyeret parti ke dalam perkara ini adalah tidak bertanggungjawab dan perlu dikecam…
“Saya menyeru semua ahli dan penyokong parti supaya berdiri teguh di belakang kepimpinan parti. Janganlah individu-individu yang hanya tahu bersembunyi di sebalik nama parti,” katanya.