KOTA KINABALU, 25 September – Prosiding pengurusan kes membabitkan lima remaja yang dikaitkan dengan kematian Zara Qairina Mahathir berlangsung hari ini, serentak dengan prosiding inkues kematian remaja berusia 13 tahun itu.
Difahamkan, pengurusan kes lima remaja tersebut akan didengar terlebih dahulu sebelum inkues yang kini memasuki hari ke-14 diteruskan.
Dalam sidang media semalam, peguam yang mewakili ibu Zara Qairina, Rizwandean M Borhan, memaklumkan prosiding inkues hanya akan bersambung selepas sesi pengurusan kes selesai.
“Kami hadir sebagai pemerhati dalam kes ini. Berdasarkan maklumat, pengurusan kes lima remaja akan dijalankan esok dan mungkin salah seorang daripada pasukan kami akan berada di mahkamah.
“Memandangkan peguam mereka terlibat di sana, besar kemungkinan prosiding pengurusan kes akan diselesaikan terlebih dahulu sebelum inkues diteruskan,” jelasnya.
Terdahulu, pada 20 Ogos lalu, lima remaja berkenaan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kata-kata menghina serta kesat terhadap Zara Qairina.
Sebelum itu, dalam pendakwaan 20 Ogos lalu, lima remaja tersebut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela dan menggunakan kata-kata kesat terhadap Allahyarhamah Zara Qairina.






