KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhkan hukuman denda RM12,000 ke atas seorang suri rumah selepas mengaku bersalah menyebar video tidak benar mengenai vaksin COVID-19.
Hakim M M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu selepas pembacaan pertuduhan ke atas orang kena saman (OKS) iaitu Tengku Noor Azilin Wa Kembang Tengku Azizan yang berusia 46 tahun.
Sinar Harian turut melaporkan bahawa Mahkamah turut memerintahkan OKS itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Ketika membaca keputusan penghakimannya, Edwin Paramjothy berkata, kesalahan tertuduh membantutkan usaha kerajaan dalam memerangi COVID-19.
“Tempoh masa kesalahan dilakukan adalah ketika kerajaan bertungkus-lumus membasmi penularan wabak menerusi program vaksinasi Covid-19…
“Walaupun mahkamah menerima mitigasi OKS dalam mengurangkan hukuman, namun mahkamah turut mengambil kira hujahan daripada pihak pendakwaan bahawa hukuman berbentuk pengajaran perlu diberikan,” katanya.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam, mengenai penyebaran berita tidak benar dalam satu hantaran video bertajuk ‘Siapa Yang dah daftar! Lelaki ini Bongkar Bahayanya V*ksin Covid 19?’ sebagaimana transripsi.
Terdahulu, kesalahan itu dilakukan melalui laman media sosial Facebook penama ‘Kak Siti Wakembang’ pada jam 11.44 malam, 25 Mei lalu dan dilihat (pengadu) di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Putrajaya pada jam 8.30 pagi, 3 Jun lalu.