Anggota Polis Didakwa Atas Pertuduhan Mengedar Dadah

Anggota Polis Didakwa Atas Pertuduhan Mengedar Dadah

0
SHARE

KUCHING, SARAWAK – Seorang anggota polis berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar 3.9 kilogram syabu dan 531 gram dadah jenis 3,4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA).

Tiada pengakuan direkodkan daripada Koperal Bukhari Mohamad Rajuna, 40, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Morni Lita Mokhtar yang menggantikan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Memetik laporan Utusan Borneo, tertuduh didakwa atas dua pertuduhan yang masing-masing dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan jika tidak digantung sampai mati.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki tersebut dituduh mengedar 3.9 kilogram syabu di sebuah kediaman di Jalan Datuk Tawi Sli, di sini, pada 19 Januari lalu, sekitar jam 1 tengah hari.

Pertuduhan kedua pula menyaksikan tertuduh didakwa mengedar MDMA seberat 531 gram pada tarikh dan tempat yang sama.

Mahkamah menetapkan 6 April depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Sementara itu, tertuduh yang beralamatkan di Jalan Matang Lama itu ditahan reman.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, ASP Hisyam Junaidi manakala tertuduh diwakili peguam, Gerald Donald.