KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri Sabah malam tadi memutuskan untuk membenarkan rentas daerah dalam negeri ini mengikut ENAM (6) zon yang ditetapkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.
Masidi yang juga Jurucakap rasmi kerajaan negeri berkenaan COVID-19 itu berkata, kelas-kelas Zon adalah seperti berikut;
Zon 1 – Kota Kinabalu, Kota Belud, Ranau, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar;
Zon 2 – Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang;
Zon 3 – Kudat, Kota Marudu dan Pitas;
Zon 4 – Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Tongod);
Zon 5 – Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Kalabakan; dan
Zon 6 – Keningau, Tambunan dan Tenom.
“Rentas sempadan (daerah) dibenarkan mengikut zon yang ditetapkan kecuali jika daerah itu di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)… penduduk hanya boleh merentas sempadan dalam zon ditetapkan itu sahaja, tidak boleh merentas daerah ke zon yang lain…
“Keputusan ini (kawalan rentas daerah) dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor antaranya data sains perubatan yang kita peroleh setiap hari dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan,” katanya pada sidang media COVID-19 kerajaan negeri di sini malam tadi.
Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata Sabah antara negeri yang dikenakan PKPP bermula Jumaat ini (5 Mac) hingga 18 Mac.
Masidi berkata tindakan kerajaan negeri untuk masih tidak membenarkan rentas daerah secara penuh di Sabah tidak boleh disamakan dengan kebenaran rentas daerah penuh yang telah diberikan untuk negeri-negeri di Semenanjung berdasarkan pelbagai sebab terutama keluasan daerah.
“Negeri Melaka sahaja sama besar dengan daerah Ranau, Pahang pula sama besar dengan Kinabatangan maka perbandingan daerah di Sabah dan Semenanjung itu tidak sesuai bila kita lihat untuk mengawal rentas sempadan bagi mencegah COVID-19,” katanya.
Beliau berkata walaupun kes harian Sabah semakin rendah dengan hanya 95 kes baharu COVID-19 hari ini, semua pihak termasuk penduduk tidak boleh leka dalam usaha mengekang pandemik itu.
“Kebolehjangkitan di Sabah masih pada tahap yang tinggi, kita juga perlu berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan dan sebarang sikap berpuas hati boleh menyebabkan satu lagi lonjakan (COVID-19) di Sabah,” katanya.