Vaksin COVID-19 AstraZeneca/Oxford Berkesan Bagi Golongan Lebih 80 Tahun

Vaksin COVID-19 AstraZeneca/Oxford Berkesan Bagi Golongan Lebih 80 Tahun

0
SHARE

PARIS, PERANCIS – Satu penyelidikan awal yang diterbitkan semalam menunjukkan vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca/Oxford didapati berkesan lebih 80 peratus (80%) mencegah penyakit serius dalam kalangan warga emas yang berisiko selepas satu dos pengambilan.

Keputusan yang belum dikaji semula itu meningkatkan bukti bahawa vaksin yang dinasihatkan tidak diberikan kepada golongan berusia lebih 65 tahun di beberapa negara itu adalah selamat dan berkesan kepada warga emas.

Memetik laporan AFP, penyelidik di University of Bristol melakukan analisis terhadap pesakit berusia lebih 80 tahun, yang dimasukkan ke hospital di Britain dengan penyakit pernafasan.

Semua pesakit menjalani ujian COVID-19 dan kes positif serta negatif diasingkan kepada dua kumpulan data.

Penyelidik kemudian melihat jumlah individu dalam setiap kumpulan itu yang sudah menerima satu dos vaksin sama ada AstraZeneca atau yang dibangunkan Pfizer.

Mereka mendapati sembilan dari 36 pesakit (25 peratus) positif COVID-19 menerima suntikan AstraZeneca.

Dalam kalangan pesakit negatif COVID-19, 53 daripada 90 pesakit (58.9 peratus) menerima suntikan.

Penyelidik berkata, perbezaan antara bahagian kes positif dan negatif yang menerima satu dos vaksin mewakili keberkesanan 80.4 peratus dalam mengurangkan COVID-19 yang teruk.

Bagi vaksin Pfizer, 18 daripada 245 pesakit positif COVID-19 menerima satu dos suntikan, berbanding 90 daripada 269 pesakit negatif. Ia menunjukkan keberkesanan sebanyak 71.4 peratus.

“Satu dos sama ada vaksin (Pfizer) atau (AstraZeneca) menyebabkan penurunan yang ketara terhadap risiko kemasukan ke hospital berkaitan COVID-19 dalam kalangan warga emas, pesakit yang lemah dengan penyakit komorbid,” katanya.

Profesor farmakepidemiologi di London School of Hygiene and Tropical Medicine, Stephen Evans, berkata hasil kajian itu ‘memberi bukti lebih lanjut vaksin itu berkesan kepada kumpulan usia yang lebih tua, yang kurang dikaji dalam ujian percubaan’.

Kedua-dua vaksin ini dibangunkan dan diuji secara klinikal untuk diberikan dalam bentuk dua dos dalam tempoh selang beberapa minggu.