KOTA KINABALU – Seorang usahawan Bumiputera mendakwa terpaksa menunggu hampir 19 bulan selepas mengemukakan permohonan pembaharuan lesen kontraktor PUKONSA, namun sehingga kini permohonan tersebut masih belum mendapat kelulusan yang diharapkan.
Susulan itu, beliau telah membuat laporan polis dan sedang mengambil langkah untuk memfailkan saman sivil terhadap PUKONSA serta Kerajaan Negeri Sabah bagi menuntut ganti rugi atas kerugian yang didakwa dialaminya sepanjang tempoh berkenaan.
Bagaimanapun, pemohon mendakwa sehingga kini beliau masih belum menerima kelulusan yang diharapkan walaupun hampir 19 bulan telah berlalu sejak permohonan pembaharuan lesen tersebut dikemukakan.
Menurut pemohon, sejak Disember 2024 beliau telah berulang kali menghubungi pejabat PUKONSA bagi mendapatkan maklumat mengenai status permohonan pembaharuan lesen tersebut. Malah, beliau mendakwa hampir setiap bulan panggilan telefon dibuat ke pejabat berkenaan, namun talian tersebut sering tidak dijawab walaupun kini didakwa telah kembali beroperasi.
Malah, pemohon turut mendakwa telah menghantar wakil ke pejabat PUKONSA sebanyak tiga kali sekitar Disember 2024 dan Januari 2025 bagi mendapatkan maklumat berhubung status permohonan tersebut.
Bagaimanapun, menurut beliau, setiap kali pertanyaan dibuat, pihak berkenaan hanya memaklumkan bahawa permohonan lesen masih belum diluluskan tanpa memberikan sebarang penjelasan mengenai kewujudan kuiri, kekurangan dokumen atau tindakan lanjut yang perlu diambil oleh pemohon.
Selain itu, pemohon turut mendakwa telah cuba menyemak status permohonan melalui sistem dalam talian PUKONSA, namun berdepan kesukaran apabila sistem tersebut didakwa sukar diakses dalam tempoh yang panjang, iaitu dari Disember 2024 sehingga Julai 2025.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan beliau tidak dapat mengetahui status sebenar permohonan atau sebarang tindakan lanjut yang perlu diambil bagi memastikan permohonan pembaharuan lesen tersebut dapat diproses dengan lancar.
Bagaimanapun, beliau mendakwa terkejut apabila dimaklumkan pada November 2025 bahawa permohonannya telah ditolak atas alasan gagal mengemukakan dokumen kuiri yang diperlukan.
Pemohon bagaimanapun mempertikaikan alasan tersebut kerana mendakwa beliau telah berusaha mendapatkan maklumat berkaitan status permohonan hampir setiap bulan melalui panggilan telefon, semakan sistem dalam talian serta menghantar wakil ke pejabat PUKONSA, namun tidak menerima sebarang makluman yang jelas mengenai kewujudan kuiri atau keperluan mengemukakan dokumen tambahan berkenaan.
Beliau berpendapat kegagalan komunikasi, kesukaran mengakses sistem serta ketiadaan maklumat yang jelas daripada pihak berkaitan telah menyebabkan beliau kehilangan peluang untuk menjawab kuiri tersebut dalam tempoh yang ditetapkan, sekali gus mengakibatkan permohonannya ditolak.
Beliau mendakwa kelewatan yang berlarutan itu telah menyebabkan beliau kehilangan peluang menyertai pelbagai tender, projek dan kerja kontrak yang memerlukan lesen kontraktor yang sah dan aktif.
Menurutnya, sepanjang tempoh menunggu tersebut, syarikatnya tidak dapat mengambil bahagian dalam pelbagai peluang perolehan dan projek yang memerlukan lesen yang sah, menyebabkan kerugian dari segi peluang perniagaan dan potensi pendapatan.
Beliau turut mendakwa memiliki bukti yang kukuh bagi menyokong dakwaannya, termasuk rekod cubaan menghubungi pejabat PUKONSA yang didakwa tidak dijawab serta bukti kesukaran mengakses sistem dalam talian PUKONSA sepanjang tempoh permohonan tersebut diproses.
Menurutnya, semua bukti berkaitan akan dikemukakan kepada pihak berkuasa dan turut diserahkan di mahkamah sekiranya tindakan saman sivil yang dirancang diteruskan.
Beliau berkata bukti-bukti tersebut penting bagi menunjukkan bahawa pihaknya telah mengambil pelbagai langkah untuk mendapatkan maklumat mengenai status permohonan, namun gagal memperoleh maklum balas yang sewajarnya daripada saluran rasmi yang disediakan.
Dalam laporan polis tersebut, beliau memohon agar pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap kemungkinan wujudnya unsur kecuaian pentadbiran, kelemahan pengurusan atau pengabaian tanggungjawab yang menyebabkan kerugian kepada pemohon.
Selain laporan polis, pemohon turut memaklumkan bahawa tindakan saman sivil sedang disediakan bagi mendapatkan keadilan serta menuntut pampasan terhadap kerugian yang didakwa ditanggung sepanjang tempoh menunggu tersebut.
Menurut beliau, dalam tindakan saman itu nanti, PUKONSA, Kerajaan Negeri Sabah, Menteri Kewangan Sabah serta beberapa pegawai yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran PUKONSA dijangka akan dinamakan sebagai defendan.
Beliau menegaskan bahawa tindakan undang-undang itu bukan bertujuan menyerang mana-mana pihak secara peribadi, sebaliknya bagi memastikan kelemahan yang didakwa berlaku diberikan perhatian serius serta tidak terus menjejaskan usahawan dan kontraktor tempatan pada masa hadapan.
Isu kelewatan proses permohonan dan pembaharuan lesen PUKONSA bukan perkara baharu apabila SabahNews pada tahun 2023 pernah menyiarkan laporan bertajuk “Unit Permohonan Lesen Kontraktor PUKONSA Terlalu Lembab Macam Kura-Kura” susulan aduan beberapa kontraktor yang mendakwa proses permohonan dan pembaharuan lesen mengambil masa terlalu lama.

Susulan perkembangan terbaru ini, kontraktor tempatan berharap satu penambahbaikan menyeluruh dapat dilakukan terhadap sistem pengurusan permohonan, komunikasi serta penyampaian maklumat kepada pemohon bagi memastikan masalah yang sama tidak terus berulang dan menjejaskan pembangunan usahawan Bumiputera di Sabah.
– SabahNews






