ALHAMDULILLAH AKHIRNYA GENCATAN SENJATA BERJAYA DICAPAI DI PALESTIN

ALHAMDULILLAH AKHIRNYA GENCATAN SENJATA BERJAYA DICAPAI DI PALESTIN

0
SHARE
Rakyat Palestin berkumpul tanda kesyukuran di jalan-jalan di Gaza segera setelah gencatan senjata bermula...(Sumber Foto; AFP/Getty)

GAZA – Israel dan Hamas telah mengumumkan ‘Gencatan Senjata’ selepas 11 hari pertempuran yang berlaku di Semenanjung Gaza tanpa henti di mana telah mengorbankan 232 orang Palestin dan 12 orang Israel.

Pengumuman tersebut dibuat oleh pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menggelar langkah itu sebagai ‘sepakat dan tanpa syarat’.

Manakala bagi pihak tentera Hamas, mereka turut mengesahkan perkara tersebut dan menyifatkannya sebagai ‘sepakat dan serentak’.

Penduduk Palestin berkumpul di jalan-jalan untuk meraikan berita gembira mengenai langkah gencatan senjata yang telah dipersetujui…(Sumber Foto; AFP)

Kesepakatan keputusan itu terjadi ketika kebimbangan global yang memuncak mengenai pertumpahan darah yang berlaku antara Palestin-Israel, dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mendesak Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk meminta pertimbangan setelah mendapat tekanan penduduk dan pemimpin antarabangsa dengan Mesir bertindak sebagai perantara.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu…

Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi telah memerintahkan dua delegasi keselamatan ke Israel dan wilayah Palestin yang dijajah untuk berusaha menegakkan gencatan senjata, demikian yang lapor TV pemerintah Mesir.

Ali Barakeh, seorang anggota biro hubungan Arab dan Islam Hamas mengatakan kepada agensi berita The Associated Press bahawa deklarasi ‘gencatan senjatan’ itu adalah kekalahan bagi Netanyahu-Israel dan “kemenangan bagi rakyat Palestin”.

Sementara itu, Basem Naim dari Majlis Hubungan Antarabangsa Hamas mengatakan kepada BBC bahawa dia ragu-ragu mengenai apakah ‘gencatan senjata’ itu akan berlanjutan.

“Tanpa keadilan bagi rakyat Palestin, tanpa menghentikan pencerobohan Israel dan kekejaman Israel terhadap rakyat kita di Yerusalem, gencatan senjata akan terus rapuh,” katanya.

Seorang anggota biro politik Hamas, Ezzat al-Reshiq, turut  mengeluarkan amaran kepada Israel.

“Memang benar bahawa pertempuran berakhir hari ini, tetapi Netanyahu dan seluruh dunia harus tahu bahawa tangan kita menjadi pencetus dan kita akan terus meningkatkan kemampuan perlawanan ini,” katanya kepada agensi berita Reuters.

“Kami memberitahu Netanyahu dan tenteranya, jika kamu kembali, kami akan kembali,” tambah ezzat.

Terdahulu pada Khamis, Israel telah meneruskan pengepungan dan pengebomannya di Semenanjung Gaza tanpa henti, susulan daripada tindakan itu, Hamas telah melakukan serangan roket setelah berhenti selama lapan jam.

Pegawai kesihatan di Gaza mengatakan 232 penduduk Palestin, termasuk 65 kanak-kanak dan 39 wanita telah terbunuh dan lebih dari 1,900 cedera sejak serangan keganasan Israel itu meletus pada 10 Mei lalu.

Pada masa yang sama, Israel mengatakan telah membunuh sekurang-kurangnya 160 pejuang di Gaza tanpa memberikan sebarang bukti sedangkan Hamas dalam satu kenyataan rasmi mengatakan sekurang-kurangnya hanya 20 pejuang mereka telah terbunuh.

Pihak berkuasa menjadikan angka kematian di Israel pada 12 orang, dengan ratusan orang dirawat kerana cedera dalam serangan roket yang menyebabkan panik dan menghantar orang bergegas ke tempat perlindungan.

Pertempuran antara Palestin dan Israel bermula pada 10 Mei lalu, selepas Israel mengusir beberapa penduduk Palestin di Sheikh Jarrah, Baitulmuqaddis.

Ia adalah untuk memberi ruang kepada pendatang haram Israel menduduki kawasan tersebut selain pertempuran turut tercetus di Masjid Al-Aqsa.

Akibat konflik tersebut, Semenanjung Gaza musnah selepas Rejim Zionis melancarkan serangan berterusan yang telah membunuh 232 penduduk Palestin termasuk 65 kanak-kanak selain 1,900 turut tercedera.