KOTA KINABALU, KINABALU – Timbalan Ketua Menteri Dato’ Sri Bung Moktar Radin (gambar) meminta semua jurutera daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) khususnya di daerah yang terlibat dengan musibah banjir agar bersiapsiaga memantau keadaan insfrastruktur di kawasan itu selepas pasca banjir.
Katanya selepas banjir kemungkinan besar boleh berlaku beberapa perkara antaranya jalan runtuh, jambatan dihanyutkan atau berlaku runtuhan tanah ekoran banjir dan hujan yang berterusan sejak beberapa hari lalu.
“Beberapa daerah di negeri ini seperti di Keningau, Tenom, Kemabong dan Beaufort terlibat dengan banjir besar ekoran hujan berterusan sejak minggu lalu di mana ianya boleh menyebabkan beberapa kemudahan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan khususnya di bawah kendalian JKR akan berhadapan dengan kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Menteri Kerja Raya itu semua ini tidak mustahil akan berlaku sebagaimana kejadian yang berlaku di daerah Pitas baru-baru ini, selepas banjir banyak jalan raya terputus, rosak dan jambatan dihanyutkan banjir.
“Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk memantau perkara ini terutamanya selepas pasca banjir agar tidak menjejaskan kehidupan masyarakat setempat…
“Semua jurutera daerah yang terlibat perlu turun padang bagi memantau keadaan ini, mana-mana kerosakan yang boleh kita perbaiki segera kita perlu laksanakan sementara kerosakan besar yang melibatkan kos pembaikan yang tinggi, laporan segara perlu dikemukakan ke ibu pejabat bagi memohon peruntukan dari Kerajaan untuk memperbaikinya,” tambah Bung.
Dalam pada itu, Bung yang Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Lamag meminta mereka yang terjejas dengan banjir ini agar sentiasa berwaspada dan mendengar nasihat dari pihak berkuasa untuk berpindah ke pusat penempatan sementara jika keadaan banjir semakin buruk .
Menyifatkan keadaan banjir seperti yang berlaku di Tenom, Kemabong dan Beaufort sebagai banjir yang terbesar tahun ini, Bung berkata keselamatan penduduk perlu diutamakan dan kesemua Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) telah diaktifkan segera dan segala bantuan sewajarnya kepada mereka yang terjejas turut disalurkan.

“Paling utama selamatkan dokumen-dokumen penting dan apabila berada di pusat penempatan sementara, pematuhan kepada Prosedur Operasi Standrad (SOP) perlu dipatuhi, ini disebabkan penularan pandemik koronavirus COVID-19 menunjukkan peningkatan yang agar ketara di negeri ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Bung berkata perkhidmatan kereta api antara Kota Kinabalu, Beaufort Dan Tenom turut terjejas ekoran landasan kereta api turut dinaiki banjir di beberapa buah lokasi menyebabkan kereta api tidak boleh beroperasi.