Sabah Electricity Jadi Anchor Baharu Program Pembangunan Vendor KUSKOP

Sabah Electricity Jadi Anchor Baharu Program Pembangunan Vendor KUSKOP

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SE) hari ini mencipta sejarah apabila menjadi syarikat Anchor pertama dari Sabah dilantik di bawah Program Pembangunan Vendor (PPV) kendalian Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Pelantikan itu dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara KUSKOP dan SE yang ditandatangani di sini hari ini, sebagai langkah memperkukuh ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan serta mengukuhkan rantaian bekalan industri tenaga di negeri ini.

Majlis pemeteraian disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, yang menyifatkan kerjasama itu sebagai langkah strategik dalam memperkasa agenda penskalaan PMKS di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.

“Pelantikan SE sebagai syarikat Anchor akan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk terlibat dalam sektor tenaga melalui peningkatan kapasiti, keupayaan teknikal dan peluasan pasaran,” katanya.

Setakat September 2025, sebanyak 20 syarikat vendor telah berdaftar di bawah PPV di Sabah melibatkan lima Anchor sedia ada termasuk SD Guthrie, TM Technology Services, Uzma Engineering, TH Plantations dan Ameen Products.

KUSKOP menyasarkan 15 penerima manfaat di bawah RMK-13 dengan unjuran pembiayaan keseluruhan sebanyak RM57 juta, termasuk RM11.5 juta bagi fasa pertama 2026.

MoU ini berkuat kuasa selama tiga tahun dan boleh dilanjutkan secara automatik bagi tempoh tambahan tiga tahun.

Tegas Ewon lagi, KUSKOP kekal komited memacu pertumbuhan ekonomi inklusif melalui pemerkasaan vendor tempatan serta memperluas peluang pasaran ke arah pembangunan keusahawanan yang mampan dan berdaya saing di bawah kerangka Malaysia MADANI.