KOTA KINABALU: Polis kini melancarkan gerakan memburu seorang suspek yang disyaki terlibat dalam kes bunuh membabitkan seorang lelaki tempatan di pusat komersial Sulaman Sentral, Manggatal, awal pagi hari ini.
Dalam kejadian sekitar jam 4.30 pagi itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an dilaporkan maut selepas ditikam di bahagian dada dalam satu pergaduhan di tingkat satu sebuah bangunan di kawasan berkenaan.
Difahamkan, insiden berdarah tersebut tercetus akibat pertelingkahan antara mangsa dengan individu yang dipercayai dikenalinya.
Sejurus selepas kejadian, abang mangsa bertindak segera membawa mangsa yang mengalami kecederaan parah itu ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas bagi mendapatkan rawatan kecemasan, namun mangsa disahkan meninggal dunia.
Susulan laporan diterima, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu telah bergegas ke lokasi kejadian bagi memulakan siasatan.
Turut dikerahkan ke lokasi ialah Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bagi menjalankan pemeriksaan terperinci serta mengumpul bahan bukti di sekitar tingkat satu premis terbabit.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala usaha mengesan suspek yang melarikan diri sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian atau keberadaan suspek diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis di mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan.






